Saturday 21 May 2011

Aku Bukan Perempuan Itu


Aku seorang perempuan. Perempuan yang hidup dalam arus dunia moden. Penuh tipu daya andai tersilap langkah.. MERANA..
Aku perempuan yang benci akan penyakit cintakan dunia. Aku perempuan yang mahu cinta Allah meresapi seluruh jiwa! Tenggelam dalam cinta-Nya. Sungguh mengasyikkan.
Aku seorang wanita yang mahu tetap teguh pendirian. Halangilah jalanku ke arah reda-Nya, pasti akan kutempuh jua.
Aku perempuan yang bukan begitu mudah untuk patah semangat.. Aku perempuan yang tidak takut dengan helah palsu kerana aku punya Dia! Kebenaran pasti tertegak!
Hasbee Rabbee. Maa fee qalbee ghairullah.
Cukuplah Allah bagiku. Tiada dalam hatiku selain Allah.
Tatkala perempuan lain megah memaparkan gambar di Facebook. Aku mengatakan. Itu bukan aku.
Kerana aku perempuan yang punya maruah. Allah menganugerahkan kecantikan dan kelebihan tersendiri pada tiap-tiap insan bernama wanita.
Oh, bukan untuk dijadikan bahan jajaan mata lelaki bernafsu. Tetapi, khazanah yang perlu disimpan hingga waktunya tiba. Hanya buat suamiku. Aku tidak akan sesekali menghampakan dia.
Aku bangga memperjuangkan pakaian sunnah. Aku bangga mengenakan busana yang menepati kehendak Allah. Aku bangga menutup keseluruhan auratku daripada menjadi panahan mata lelaki. Biar mereka memandang serong.
Tidak pernah tergugat usahaku dalam mendamba reda-Nya. Sedikitpun aku tidak peduli pandangan manusia. Ya, mengapa harus peduli sedangkan Dia adalah Pencipta?
Aku langsung tidak ingin kelihatan cantik di mata ribuan lelaki. Aku langsung tidak ingin menjadi rebutan jejaka kacak atas mata yang hanya memandang kecantikan. Aku langsung tidak ingin sang pria menaruh hati dan harapan kepadaku kerana rupa.
Aku tidak mahu menjadi fitnah bagi mereka. Aku tidak mahu mereka sibuk memikirkan aku melebihi Al-Khaliq Sang Pencipta. Kerana aku tidak tahu alasan apa yang harus ku utarakan saat Dia bertanya kelak.
Malah apabila aku menjadi punca dua jejaka bermasam muka dan bergaduh, aku terasa begitu hina! Seolah-olah aku hanyalah barang yang bisa dibeli begitu sahaja. Aku punya maruah. Aku bukan barang jajaan yang mudah dilihat, disentuh, diusik, direbut sesuka hati! Kerana aku hanya khusus buat dia.
Kerana aku sentiasa merasakan dia ada di sisi walaupun pada mata kasarnya dia tiada menemani. Hanya keyakinan aku sandarkan pada-Nya dalam sebuah penantian. Itu sahaja sudah cukup. Cukup buat aku bahagia dengan dia, takdirku kelak.
Malah aku malu membiarkan seorang lelaki ajnabi berjalan di belakangku lantaran fitnah yang mungkin timbul. Mengingatkanku kepada apa yang dikatakan oleh Saidina Umar radhiallahu 'anhu, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."
Aku mahu menjadi perempuan yang sukar. Sukar didekati. Sukar dipermainkan hatinya. Sukar tunduk kepada kehendak nafsu. Sukar mengatakan ya kepada pergaulan yang tiada batasan syarak.
Sukar untuk merasa tenang apabila melihat anak bangsa semakin rosak. Sukar membuang perasaan malu terhadap ajnabi. Aku mahu jadi perempuan yang sukar itu. Aku mahu menjadi sebaik-baik wanita yang tidak memandang dan tidak dipandang. Seperti pesanan Saidatina Aisyah radhiallahu 'anha. Ini baru aku.
Tatkala perempuan lain sibuk memikirkan cinta manusia. Aku mengatakan. Itu bukan aku.
Kerana aku perempuan yang punya matlamat. Aku punya agama yang mesti aku perjuangkan. Lihat! Cubalah lihat di luar sana! Sedih! Aku sayangkan wanita di luar sana! Anak-anak remaja perempuan yang berpakaian mendedahkan aurat.
Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang asyik memikirkan kapan bila mahu bertemu pacarnya.Sedih! Aku sayang mereka! Perempuan yang membonceng motosikal lelaki dan dijadikan hadiah pertaruhan lumba haram. Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang telah dinodai kehormatannya dengan rela!
Sememangnya aku perempuan, aku juga punya rasa. Menyayangi dan disayangi. Namun aku tidak akan begitu mudah tertipu. Kerana aku tidak begitu bodoh untuk menghabiskan masa dengan memikirkan perkara yang tidak pasti.
Hanya angan-angan sementara. Aku bukan perempuan yang menghabiskan masanya sering memikirkan masalah sendiri dan tidak memikirkan kudis yang semakin membusuk pada umat! Aku tidak mahu menjadi perempuan yang mementingkan diri sendiri.
Tatkala perempuan lain sibuk menunggu dan membalas SMS cinta. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.
Kerana aku perempuan yang punya hala tuju. Aku tidak akan membazirkan masa mudaku untuk perkara yang langsung tidak bermanfaat untuk akhirat! Hanya keseronokan sementara. Hanya mengenyangkan nafsu.
Oh, aku bukan begitu. Kerana aku mahu sibuk menelaah ilmu. Menggali ilmu Fardu Ain dan juga yang berkaitan dengan hukum syarak. Menjadi seorang wanita yang beramal dengan ilmunya.
Mencontohi Saidatina Aisyah a.s yang cukup cerdas dan cerdik dalam mengeluarkan fatwa. Sehingga menjadi antara rujukan dalam urusan berkaitan hal ehwal masyarakat dan hukum hakam. Itu semua berdasarkan ilmunya.
Sehingga membawa aku untuk berfikir sejenak. Alangkah bodohnya diri andai melayan cinta palsu yang berlandaskan nafsu sedangkan terlalu banyak ilmu yang belum aku teroka.
Aku tidak suka melayan perasaan yang sia-sia sedangkan 'dia' telah ditakdirkan buatku. Aku mahu menjadi perempuan yang matang dengan ilmunya. Dengan ilmunya makin terasa manis akan ibadat. Makin terasa semakin dekat dan erat dalam dakapan kasih Allah. Dengan ilmu yang mewujudkan perasaan khauf, takutkan Allah.
Tatkala perempuan lain ada yang materialistik terhadap wang. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.
Kerana aku perempuan yang materialistik terhadap pahala. Mahu akaun akhirat kaya dengan amal soleh. Setiap detik bagiku amat berharga untuk aku lakukan sesuatu yang dipandang oleh-Nya. Kerana aku mahu menjadi wanita syurga! Itu bukan sekadar madah penyedap kata. Bukan sekadar omong kosong. Ini cita-cita tertinggi aku.
Kerana aku perempuan yang berfikiran jauh. Berpandangan jauh ke hadapan. Aku benar mahu cinta-Nya. Terkadang aku terfikir. Andai aku di tempat Masyitah yang dipaksa terjun ke dalam minyak panas semata-mata untuk mempertahankan keimanan, apakah aku kuat sepertinya? Atau mungkin aku akan lari atau mungkin aku akan... entah. Aku menangis...
Aku mahu seperti Rabi'ah al-Adawiyah. Cintanya terhadap Kekasih Agung begitu mengagumkan. Sehingga dengan ujian dia merasa gembira. Benar reda dan tidak merungut walaupun ditimpa musibah. Diculik dan menjadi hamba kepada raja yang zalim.
Apakah aku mampu seperti sufi wanita ini. Yang memperkenalkan apa itu falsafah Cinta Ilahi sehingga tiada cinta manusia di hatinya kerana cintanya yang terlalu mendalam terhadap Yang Satu. Tetapi aku... Aku menangis lagi..
Aku menangis.. Menangis.. Menangis.. Namun, tangisan ini membuatkan aku kembali kuat. Menyedarkan aku daripada lamunan. Kerana aku bukan perempuan yang mudah menyerah kalah! Allahuakbar! Aku tidak kenal erti jatuh yang tidak bangun. Aku bukan perempuan yang begitu. Lembik. Lemah!
Aku bukan perempuan lembik yang lemah. Mengada-ngada. Tidak mampu untuk hidup berdikari dan yang hanya bergantung kepada orang lain. Aku bukan perempuan yang penakut dan pengecut! Aku bukan perempuan yang mudah kalah terhadap cabaran!
Aku mahu menjadi perempuan yang lembut. Yang mempunyai hati yang kuat. Yang tidak lari daripada cabaran dunia tetapi menghadapinya dengan berani. Dengan bersandarkan keyakinan Dia sentiasa di sisi, aku tidak akan takut menegakkan kebenaran. Mempunyai hati yang bisa dilentur namun tak mudah untuk dipatahkan. Aku perempuan yang mampu berpijak atas kaki sendiri.
Akan ku kesat air mata ini dengan semangat baru. Semangat yang lahir dari kekuatan yang dihembus-Nya. Aku tidak akan begitu mudah menurut kata nafsu. Aku perempuan yang ditarbiyah. Mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan duniawi. Aku ada Dia. Cukup.
Aku tidak mahu neraka. Aku mengatakan. Itu bukan aku. Kerana aku perempuan yang mahukan syurga.
"Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung."
[An-Nisa', 4 : 13]
"Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah."

Thursday 19 May 2011

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?


Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

Melupakan Dan Dilupakan


Manusia sering melakukan kesalahan yang sama. Ada yang berusaha untuk memperbaikinya dan ada yang tidak.
Mengapa tidak? Adakah kerana mereka enjoy melakukan kesalahan berulang kali? Tetapi, mengikut logik akal, bukankah setiap manusia mahukan yang terbaik?
Hairan, bukan?
Bukan mereka tidak ingin maju, tetapi mereka tidak sedar akan kekurangan diri yang ada pada mereka. Tidak sedar bahawa perbuatan mereka sebenarnya sedang memudaratkan dan menzalimi diri sendiri. Inilah balasan kepada mereka yang lupa akan Allah.
Firman Allah dalam surah Taha, ayat 126 -127 "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal"
Apabila Allah melupakan kita, meninggalkan kita, apa akan terjadi pada kita?
Mata kita, hati kita, sudah tidak dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. Kita hanya seronok melakukan apa yang kita suka. Kita hilang kebolehan untuk melihat, memikirkan, memahami dan mengambil pengajaran dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Kita sudah "terhijab" dari melihat pintu-pintu kebaikan.
Manusia di sekeliling kita juga seperti tidak sedar akan keadaan kita dan selalu saja ada yang menghalang mereka dari mengajak kita ke arah kebaikan. Bahkan, sekalipun telah datang pesanan kebaikan itu kepada kita, kita sendiri yang akan mengendahkannya kerana kejahilan pada diri kita.
 Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaanKu. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadaNya 
- Al-A'raaf : 146
Ayuh renung sejenak, tentu ada orang seperti di atas yang dikenalimu. Kadangkala sedih melihat mereka dengan ideologi barat dan kafir mereka. Begitulah hukum Allah, ringkas.
 Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka 
- At-Taubah : 67
Hm.... Jadi bagaimanakah caranya untuk sentiasa mengingati Allah? Allah telah pun memberi petunjuk (hint) di dalam kitabNya.
 Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka 
- Ali Imran: 190-191
Jangan hanya menyebut takbir ketika melatah. Bertasbihlah lalu bertahmidlah, lalu bertahlillah, terus bertakbir memaha besarkan asma-Nya.
Semoga kita beramal seperti seorang muslim sehingga kita berupaya melaungkan "saksikanlah, aku seorang muslim!" tanpa keraguan.
Wallahu'alam. Bersama kita amalkan. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang datangnya dari Allah adalah terbaik untuk kita.

Saturday 14 May 2011

Guru Yang Teristimewa


Mengapa aku memilih kerjaya ini? Mengapa?
Teringat aku suatu ketika dahulu guru Matematik Tambahan aku pernah berkata, "Ina, mengapa kamu mahu memilih bidang Pendidikan Khas? Kalau macam tu lebih baik jangan ambil matapelajaran Matematik Tambahan!"
Ouch.. Aku terkesima.. Mengapa guruku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan Khas?
Sekali lagi aku dilemparkan tomahan ketika aku ingin memilih bidang Pendidikan Khas sebagai bidang yang ingin aku ceburi setelah tamat menduduki peperiksaan SPM oleh ibu saudaraku yang tidak bersetuju denganku.
"Ang nak mengajaq anak-anak cacat ka? Biaq betui..Ambikla kursus yang bagus sikit...Tolongla..."
Mengapa ibu saudaraku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan khas?
Suatu hari, jiranku datang kepadaku...
Agak pelik kelakuannya.. Bergerak ke sana ke sini. Ketawa berdekah-dekah. Lantas dia berkata kepadaku,
"Aku berlakon jadi budak cacat.. Hang kan nak mengajaq budak cacat.."
Ku dengar hilai tawanya semakin panjang. Aku menarik nafas panjang. Ya Allah, salahkah aku memilih bidang pendidikan Khas? Mengapa jiranku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan Khas?
Di suatu pagi yang cerah.Ibuku menghampiri aku.
"Emm...Mak dengaq orang tua-tua kata kalau mengajaq budak-budak cacat ni nanti kena tulah..Ang tau apa dia tu. Kalau esok hang dah berkeluarga, dah mengandung. Hang pergi sekolah,lepas tu mengajaq budak-budak cacat .Hang tak takut esok-esok anak hang lahir cacat jugak? Macam budak-budak cacat yang hang mengajaq tu?"
Wahai ibuku, hancur luluh hati anakmu mendengar luahanmu.. Mengapa ibuku? Salahkah aku memilih bidang Pendidikan Khas?
Ketika aku berada di tingkatan empat, ku lihat wajah-wajah yang mengharapkan perhatian. Ku lihat ada sinar di wajahnya. Ada yang bersifat keanak-anakan sedangkan usia mereka sebaya denganku malah lebih tua dariku. Aku sering memandang ke tingkap kelasku. Ceria mereka mengusik guru-guru mereka.
Aku melihat lagi, seorang pelajar perempuan yang mungkin sebaya denganku memeluk gurunya seerat-eratnya. Senyuman ikhlas terpancar diwajahnya. Mungkin ingin luahan rasa terima kasih kepada gurunya. Mungkin sayangkan gurunya. Mungkin dia memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang yang tak terhingga. Kenangan lama terpaut kembali andai aku pulang ke desa. Sememangnya memberi nostalgia lama dan menggamit seribu kenangan.
Mengapa? Kerana di situlah cintaku mula bercambah. Bercambah dan semakin bercambah.Ya! Aku memilih bidang perguruan. Aku ingin menjadi seorang guru Pendidikan Khas. Itu matlamatku. Akhirnya terlaksana jua keinginanku kerana aku dapat melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru di utara tanah air. Bidang Pendidikan Khas tetap menjadi pilihanku. Hari berganti hari. Sudah genap dua tahun aku menjadi seorang pelajar dan bakal guru demi menggemgam segulung ijazah dalam bidang Pendidikan khas.
Kesabaran tetap menjadi kunci dalam hidupku. Perit jerih aku di institut tidak mematahkan semangatku demi bergelar seorang pendidik. Tahun pertama aku di institut pendidikan guru, aku diberi latihan keguruan. Selama seminggu aku perlu ke sekolah untuk menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Selama seminggu, aku datang ke sekolah. Menuju kelas yang sama. Kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Aku melihat realitinya. Ya! Memang ini yang akanku hadapi kelak.
Kanak-kanak hiperaktif, Sindrom Down, Disleksia, autisme, Slow learner..
Ya, Allah, kuatkan semangatku demi cinta ini.
"Aku cokelat superman..."
"Aku sak bisa nagis...."
"Bia kelisih ku pei ninggalkanku.."
Lamunanku terhenti. Aku melihat Nasrullah seorang kanak-kanak menyanyi dengan gembiranya. Tiada apa yang perlu difikirkan oleh kanak-kanak ini. Hanya bauan syurga yang bakal menggamitnya.
Setiap hari aku di kelas itu, anak-anak bakal penghuni syurga ini akan menghulurkan tangan. Salam tanda hormat kepada gurunya. Hatiku merintih sayu.Syahdu. Tidak dapat ku gambarkan betapa syahdunya hati ini kerana setiap hari bakal penghuni syurga ini akan selalu tersenyum kepadaku.
Bersalam denganku.
Ya, Allah aku amat bersyukur dengan nikmat yang engkau berikan . .
Wahai dunia... Ingin aku katakan.. Anak-anak kecil tanpa berdosa ini memerlukan kasih sayang. Perhatian yang tidak terhingga. Jadikanlah kesabaran melekat di hati agar amanah yang Allah berikan tidak disia-siakan. Aku ingin jua katakan kepada diriku..
Wahai Hati, tabahlah.. Engkau bakal menjadi guru. Guru pendidikan Khas. Jangan engkau mengingkari janji-janji kepada Tuhanmu. Jangan sesekali-kali. Perbanyakkanlah ilmu di dada. Engkau guru yang teristimewa!
Ya.... Sangat istimewa...
Ya Allah berikan aku ketabahan.. Berikan kepadaku hati yang ikhlas untuk anak-anak ini..
Demi Kasih ini, akanku hadapi dengan berbekalkan keazaman!

Anda juga mungkin meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

nadaku